• Welcome to my blog!

~Aluan Kami~

Tiada rancangan majukan tanah UM – Leong
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)

BEIJING 24 Jun – “Kami juga tak ada sebarang rancangan atau niat untuk memajukan tanah Universiti Malaya (UM)”.

Ini jawapan langsung daripada Timbalan Pengerusi Kumpulan Hong Leong, Datuk Andrew Leong, menafikan laporan berita baru-baru ini bahawa Guocoland (M) Bhd. yang dikuasai kumpulan itu berhasrat memajukan tanah perdana itu di Lembah Pantai.

Bercakap buat pertama kali selepas Guocoland menafikan laporan tersebut, Leong berkata, sama ada syarikat induk atau anak-anak syarikatnya tidak berhasrat memajukan tanah itu.

“Saya telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ong Tee Keat menjelaskan perkara itu,” kata beliau sambil menyifatkan laporan itu hanya spekulasi.

“Saya faham sebabnya, kerana kami mempunyai simpanan tanah yang luas.

Guocoland mempunyai simpanan tanah yang luas di Malaysia dan kerana itu, harga (saham Guocoland) sentiasa naik.

“Tetapi keadaan ini tidak saja wujud pada Guocoland malah pada syarikat lain yang mempunyai simpanan tanah yang luas. Mengapa kami pula jadi sasaran?” tanya beliau.

Media di Malaysia melaporkan bahawa Guocoland (M) Berhad, sebuah syarikat yang dimiliki jutawan Tan Sri Quek Leng Chan, ingin memajukan kampus utama Universiti Malaya seluas 368 hektar sebagai pusat komersial dan kediaman bernilai RM10 bilion.

Photo

Wednesday, June 27, 2007

at 12:57 PM


Kampus UM adalah Warisan Nasional
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)

Kuala Lumpur, 18 Jun - KITA berasa lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Universiti Malaya (UM) mesti dikekalkan di lokasinya yang ada sekarang.

Bagaimana besar pun UM mahu berkembang, ia tidak wajar dipindahkan ke lokasi lain. Pembangunannya boleh dilakukan dengan menubuhkan cawangan-cawangan baru di tempat-tempat lain tanpa mengorbankan kedudukan kampus induknya di Lembah Pantai.

Kita juga terharu betapa banyak pihak masih menunjukkan rasa hormat kepada kampus bersejarah UM dan mahu kedudukannya di situ dipertahankan.

Sesungguhnya UM di lokasinya yang ada sekarang sudah menjadi institusi nasional yang bersejarah dan menjadi sebahagian daripada mercu tanda dan jati diri Kuala Lumpur.

Justeru, kawasan kampus UM, dengan bangunan-bangunan fakultinya serta landskapnya yang indah tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit walaupun betapa menarik cadangan pembangunan gantiannya.

Kita mahu rakyat turut memiliki perasaan menghormati institusi-institusi warisan nasional seperti UM dan tidak terlalu berorientasikan komersial hingga meminggirkan nilai-nilai patriotisme.

Sesungguhnya sesebuah universiti bukan saja berbentuk pengajian dengan ahli akademik serta mahasiswa semata-mata.

Ia juga meliputi struktur kampusnya, baik seni bina, reka bentuk mahupun landskap kampusnya. Kesemuanya merupakan sebahagian daripada karakter sesebuah universiti.

Bagi kita bukan saja kampus UM wajar dipertahankan, tetapi juga lain-lain universiti bersejarah yang ada di sekitar Kuala Lumpur. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak adalah kesemuanya memiliki karakter yang menjadi sebahagian daripada mercu tanda pendidikan tinggi negara.

Sudah tentu kampus-kampus ini menarik perhatian pemaju-pemaju yang tidak melihat nilai patriotisme dan nasionalisme sesebuah kampus universiti bersejarah.

UPM umpamanya memiliki tanah-tanah luas berjiran dengan Putrajaya yang pastinya turut menarik minat pemaju komersial. Tetapi ia juga wajar dipertahankan.

Kampus universiti-universiti ini seperti juga hutan simpan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) adalah setaraf dengan Stadium Merdeka, bangunan Parlimen, Tugu Peringatan Negara, Muzium Negara, Masjid Negara dan lain-lain bangunan yang sudah menjadi mercu tanda warisan mewakili jati diri Malaysia.

Photo

at 12:56 PM


Pertahan UM warisan bangsa
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


MEMBACA laporan akhbar mengenai ura-ura rancangan pemindahan kampus Universiti Malaya (UM) dari tapak asalnya sekarang di Kuala Lumpur ke Sepang oleh sebuah syarikat pemaju hartanah menarik perhatian umum terutama di kalangan pentadbir, pendidik dan pelajar universiti itu sendiri.

Sungguhpun saya bukan daripada kalangan mereka kerana tidak pernah belajar ataupun bekerja di pusat pengajian tinggi berkenaan, namun selaku anggota masyarakat biasa saya turut tertarik mengenai isu ini dan ingin berkongsi pandangan bersama pembaca lain.

Saya bersetuju dengan pandangan bekas Naib Canselor UM, Prof Diraja Ungku Aziz yang menyatakan bahawa cadangan pihak tersebut disifatkan sebagai ‘gila’ dan ‘kurang ajar’. Ini kerana menurut beliau, tindakan tersebut menggambarkan sikap tidak patriotik pihak tersebut terhadap khazanah negara.

Melihat kepada faktor sejarahnya, UM yang pada asalnya ditubuhkan di Singapura pada tahun 1905 dan kemudian membuka cawangannya di Kuala Lumpur pada tahun 1957. Ia secara tidak langsung membawa makna tertentu kepada politik negara di samping bermulanya sejarah pendidikan tinggi di negara kita.

Ini kerana, pada tahun tersebut negara kita mencapai kemerdekaan dan pada masa yang sama kita juga dapat memiliki sebuah universiti meskipun ia hanya sebuah cawangan. Sehinggalah pada tahun 1962, barulah UM ‘dibawa’ ke negara kita dan ‘ditempatkan’ di tapaknya seperti yang kita lihat sekarang.

Apa yang lebih penting bukanlah pada struktur bangunan semata-mata tetapi juga ia merupakan perintis kepada kewujudan institusi pendidikan tinggi di negara kita. Bahkan dalam konteks ini tapaknya itu turut mencatatkan nilai sejarahnya tersendiri. Inilah saya rasa sesuatu yang amat penting sekali dan wajar dipertahankan.

UM juga menjadi tunjang kepada pendidikan tinggi di negara ini terutamanya di kalangan masyarakat Melayu. Penubuhan pusat pengajian asasi sains di universiti tersebut telah membuka ruang dan peluang kepada golongan bumiputera untuk mempelajari ilmu sains yang ketika itu dikuasai oleh golongan bukan bumiputera.

Selain itu, ia juga telah menyumbangkan jasa yang cukup besar kepada negara. Di universiti inilah lahirnya pemimpin-pemimpin negara yang sangat kita hormati dan sanjungi. Ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan anak Melayu pertama memperoleh ijazah kedoktoran dalam perubatan turut ‘dilahirkan’ oleh universiti tersebut ketika kampus induknya masih lagi berada di Singapura.

Justeru UM bukan sahaja harus dilihat dari sudut nilai pendidikan semata-mata tetapi juga membawa kepada simbol politik, budaya dan juga sejarahnya yang sinonim dengan pembangunan orang Melayu.

Adalah tidak wajar sekiranya salah satu daripada warisan negara ini ‘dilayan’ sebegitu rupa hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan. Imej dan prestij UM sebagai ‘universiti yang tertua’ di negara ini perlu dijaga dan dihormati. Bukan dicemari dengan sikap tidak mempedulikan nilai sejarah negara.

Nilai sejarah negara sama ada dalam pendidikan atau apa jua bidang pun wajar dihormati dan bukan untuk diperdagangkan dengan sewenang-wenangnya, khususnya oleh rakyat negara ini sendiri.

Kita sewajarnya mencontohi beberapa negara luar seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya yang sentiasa menghormati universiti di negara mereka.

Bahkan mereka sama-sama menjaga prestij dan imej universiti mereka daripada dicemari kerana merasakan bahawa itu adalah identiti dan keistimewaan yang harus dipelihara.

Adalah amat diharapkan agar isu ini diberi perhatian serius oleh semua pihak, bukan semata-mata warga kampus UM tetapi juga seluruh masyarakat. Kita harus mempertahankan warisan pendidikan tinggi negara kita daripada tindakan rakus sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Photo

at 12:53 PM


Ungku Aziz gembira
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)

KUALA LUMPUR 16 Jun – Profesor Diraja Ungku Aziz gembira dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu Universiti Malaya (UM) dikekalkan di tempat asalnya di Lembah Pantai di sini.

Menurutnya, selain beliau, seluruh pelajar dan alumni UM juga harus menyokong kuat kenyataan Perdana Menteri itu.

‘‘Kita menyokong kuat kenyataan Perdana Menteri agar UM tidak dipindahkan, malah kita semua harus menentang sebarang cubaan pihak luar untuk memindahkan universiti ini ke tempat lain,’’ katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri hari ini menegaskan, kampus UM tetap kekal di Lembah Pantai dan tidak akan dipindahkan ke mana-mana tempat lain.

Ungku Aziz berkata, episod yang berlaku itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.

‘‘Universiti tidak boleh dijual beli oleh mana-mana pihak sewenang-wenangnya. Bukan suatu perkara mudah untuk memindahkan satu universiti dari satu tempat ke tempat yang lain,’’ tambahnya.

Semalam, Profesor Diraja itu melahirkan rasa marah dan kesal dengan cadangan sebuah syarikat hartanah untuk membeli dan membangunkan tapak UM dan menganggap cadangan itu sebagai sesuatu ‘gila’ dan ‘kurang ajar’.

Photo

at 12:53 PM


Kampus UM kekal – PM
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


Oleh: ROZILAN SALLEH dan HAIRULAZIM MAHMUD

KEPALA BATAS 16 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kampus Universiti Malaya (UM) tetap kekal di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan tidak sama sekali akan dipindahkan ke mana-mana tempat yang lain.

Menurut Perdana Menteri yang juga lepasan universiti itu, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan dan banyak menyumbangkan jasa, UM sudah menjadi institusi begitu bermakna kepada negara.

‘‘Saya hendak kampus itu dikekalkan sampai bila-bila, saya tidak nampak kenapa perlunya universiti kita ditiadakan (dipindahkan),” tegasnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Merdeka dan melancarkan kad keahlian UMNO di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Abdullah diminta mengulas mengenai syarikat Guocoland (M) Berhad (Guocoland) yang dikuasai jutawan, Tan Sri Quek Leng Chan dan dilaporkan membida untuk memindahkan UM ke Sepang dan membangunkan tapak kampus itu sekarang sebagai pusat komersial dan perumahan, menerusi projek dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Guocoland mempunyai 4,860 hektar tanah di Sepang yang sebahagiannya digunakan untuk membangunkan projek Pantai Sepang Putra membabitkan pembinaan banglo dan vila di pinggir laut.

Rancangan itu bagaimanapun dibantah oleh Lembaga Pengarah UM, Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa serta tokoh-tokoh yang mempunyai kaitan rapat dengan universiti tertua negara itu.

Ini bukan pertama kali tapak universiti itu yang seluas 368 hektar dan kini menempatkan 9,304 mahasiswa, 2,268 tenaga akademik dan 2,275 kakitangan sokongan, setelah cadangan serupa pernah timbul pada tahun 80-an.

Selain Abdullah yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari UM pada 1964, gedung ilmu terulung itu turut melahirkan ramai tokoh pemimpin negara yang berkaliber termasuk menteri-menteri Kabinet serta tokoh korporat terkenal.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sebagai universiti pertama dan banyak berjasa kepada negara, UM melahirkan begitu ramai siswazah yang kemudiannya menghulurkan sumbangan kepada negara dengan berkhidmat sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Pada masa yang sama, menurut Perdana Menteri, sekiranya perlu memperluaskan lagi kampusnya, UM boleh membuka beberapa cawangan di tempat lain.

Mengenai hasrat Guocoland untuk membuat tawaran memindahkan UM ke tempat lain, Abdullah memberitahu bahawa beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai cadangan tawaran itu.

Bagaimanapun, menurutnya, cadangan itu timbul setelah ada pihak yang melihat lokasi UM di Lembah Pantai sekarang boleh memberikan keuntungan komersial.

UM ditubuhkan lebih seabad lalu iaitu pada 1905 di Singapura. Universiti yang terletak di Petaling Jaya ketika itu merupakan cawangan UM Singapura di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1957.

Apabila UM berpindah ke Kuala Lumpur dan ditubuhkan pada 1962, bekas tapak universiti berkenaan di Singapura diganti oleh National University of Singapore.

Photo

at 12:50 PM


Jangan pindah UM -- Lembaga Pengarah universiti bantah cadangan alih kampus ke Sepang
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


KUALA LUMPUR 15 Jun - Universiti Malaya (UM) adalah warisan negara dan tapaknya di sini tidak harus dikorbankan untuk kepentingan perniagaan mana-mana pihak, kata lembaga pengarahnya hari ini sebagai membantah sebarang cadangan memindahkan universiti itu ke kawasan lain.

Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, mesyuarat lembaga itu hari ini mengarahkan pihak pentadbir Universiti Malaya menulis surat bantahan kepada Suruhanjaya Sekuriti, berhubung laporan mengenai hasrat syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad untuk memajukan tapak universiti itu, yang dianggap ‘tidak tepat dan mengelirukan demi kepentingan komersial syarikat berkenaan’.

“Universiti Malaya tidak sama sekali mengetahui rancangan syarikat itu untuk mengalihkan kampus UM ke satu kawasan baru seperti dilaporkan akhbar Selasa lepas,” kata Zulkefli dalam satu kenyataan.

Guocoland (M) Berhad, yang dikuasai jutawan Tan Sri Quek Leng Chan dilaporkan membuat tawaran untuk memindahkan universiti itu ke Sepang dan membangunkan tapak kampus itu sekarang sebagai pusat komersial dan perumahan, menerusi projek dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Rancangan tersebut sebelum ini dibantah oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa.

“Universiti Malaya adalah universiti tertua di negara ini. Lembaga Pengarah universiti bertanggungjawab kepada ramai pemegang kepentingan, negara, masyarakat, alumni, kakitangan akademik dan pentadbiran serta mahasiswa,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Alumni universiti itu, Datuk Noordin Abdul Razak membantah cadangan tersebut kerana menurutnya, universiti itu mempunyai nilai sejarah dan menjadi mercu tanda universiti awam di negara ini.

Ini bukan pertama kali tapak universiti itu menjadi sasaran pemaju hartanah. Cadangan serupa pernah timbul pada tahun 80-an.

UM kini menempatkan 9,304 pelajar, 2,268 tenaga akademik dan 2,275 kakitangan sokongan.

– Bernama

Photo

at 12:44 PM