• Welcome to my blog!

~Aluan Kami~

Kampus UM kekal – PM
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


Oleh: ROZILAN SALLEH dan HAIRULAZIM MAHMUD

KEPALA BATAS 16 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kampus Universiti Malaya (UM) tetap kekal di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan tidak sama sekali akan dipindahkan ke mana-mana tempat yang lain.

Menurut Perdana Menteri yang juga lepasan universiti itu, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan dan banyak menyumbangkan jasa, UM sudah menjadi institusi begitu bermakna kepada negara.

‘‘Saya hendak kampus itu dikekalkan sampai bila-bila, saya tidak nampak kenapa perlunya universiti kita ditiadakan (dipindahkan),” tegasnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Merdeka dan melancarkan kad keahlian UMNO di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Abdullah diminta mengulas mengenai syarikat Guocoland (M) Berhad (Guocoland) yang dikuasai jutawan, Tan Sri Quek Leng Chan dan dilaporkan membida untuk memindahkan UM ke Sepang dan membangunkan tapak kampus itu sekarang sebagai pusat komersial dan perumahan, menerusi projek dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Guocoland mempunyai 4,860 hektar tanah di Sepang yang sebahagiannya digunakan untuk membangunkan projek Pantai Sepang Putra membabitkan pembinaan banglo dan vila di pinggir laut.

Rancangan itu bagaimanapun dibantah oleh Lembaga Pengarah UM, Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa serta tokoh-tokoh yang mempunyai kaitan rapat dengan universiti tertua negara itu.

Ini bukan pertama kali tapak universiti itu yang seluas 368 hektar dan kini menempatkan 9,304 mahasiswa, 2,268 tenaga akademik dan 2,275 kakitangan sokongan, setelah cadangan serupa pernah timbul pada tahun 80-an.

Selain Abdullah yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari UM pada 1964, gedung ilmu terulung itu turut melahirkan ramai tokoh pemimpin negara yang berkaliber termasuk menteri-menteri Kabinet serta tokoh korporat terkenal.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sebagai universiti pertama dan banyak berjasa kepada negara, UM melahirkan begitu ramai siswazah yang kemudiannya menghulurkan sumbangan kepada negara dengan berkhidmat sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Pada masa yang sama, menurut Perdana Menteri, sekiranya perlu memperluaskan lagi kampusnya, UM boleh membuka beberapa cawangan di tempat lain.

Mengenai hasrat Guocoland untuk membuat tawaran memindahkan UM ke tempat lain, Abdullah memberitahu bahawa beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai cadangan tawaran itu.

Bagaimanapun, menurutnya, cadangan itu timbul setelah ada pihak yang melihat lokasi UM di Lembah Pantai sekarang boleh memberikan keuntungan komersial.

UM ditubuhkan lebih seabad lalu iaitu pada 1905 di Singapura. Universiti yang terletak di Petaling Jaya ketika itu merupakan cawangan UM Singapura di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1957.

Apabila UM berpindah ke Kuala Lumpur dan ditubuhkan pada 1962, bekas tapak universiti berkenaan di Singapura diganti oleh National University of Singapore.

Photo

Wednesday, June 27, 2007

at 12:50 PM


0 comments: