• Welcome to my blog!

~Aluan Kami~

Jangan pindah UM -- Lembaga Pengarah universiti bantah cadangan alih kampus ke Sepang
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


KUALA LUMPUR 15 Jun - Universiti Malaya (UM) adalah warisan negara dan tapaknya di sini tidak harus dikorbankan untuk kepentingan perniagaan mana-mana pihak, kata lembaga pengarahnya hari ini sebagai membantah sebarang cadangan memindahkan universiti itu ke kawasan lain.

Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, mesyuarat lembaga itu hari ini mengarahkan pihak pentadbir Universiti Malaya menulis surat bantahan kepada Suruhanjaya Sekuriti, berhubung laporan mengenai hasrat syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad untuk memajukan tapak universiti itu, yang dianggap ‘tidak tepat dan mengelirukan demi kepentingan komersial syarikat berkenaan’.

“Universiti Malaya tidak sama sekali mengetahui rancangan syarikat itu untuk mengalihkan kampus UM ke satu kawasan baru seperti dilaporkan akhbar Selasa lepas,” kata Zulkefli dalam satu kenyataan.

Guocoland (M) Berhad, yang dikuasai jutawan Tan Sri Quek Leng Chan dilaporkan membuat tawaran untuk memindahkan universiti itu ke Sepang dan membangunkan tapak kampus itu sekarang sebagai pusat komersial dan perumahan, menerusi projek dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Rancangan tersebut sebelum ini dibantah oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa.

“Universiti Malaya adalah universiti tertua di negara ini. Lembaga Pengarah universiti bertanggungjawab kepada ramai pemegang kepentingan, negara, masyarakat, alumni, kakitangan akademik dan pentadbiran serta mahasiswa,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Alumni universiti itu, Datuk Noordin Abdul Razak membantah cadangan tersebut kerana menurutnya, universiti itu mempunyai nilai sejarah dan menjadi mercu tanda universiti awam di negara ini.

Ini bukan pertama kali tapak universiti itu menjadi sasaran pemaju hartanah. Cadangan serupa pernah timbul pada tahun 80-an.

UM kini menempatkan 9,304 pelajar, 2,268 tenaga akademik dan 2,275 kakitangan sokongan.

– Bernama

Photo

Wednesday, June 27, 2007

at 12:44 PM


0 comments: