• Welcome to my blog!

~Aluan Kami~

KEMULIAAN RAMADHAN DALAM MENDIDIK DIRI
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


~Moh join PEMARAK~

Bulan Ramadhan telah dimuliakan oleh Allah SWT mengatasi bulan-bulan yang lain. Ramadhan mampu menjana satu suasana yang cukup indah bagi orang-orang beriman. Siang dan malam silih berganti di Bulan Ramadhan, pastinya diwarnai dengan kepelbagaian corak warna-warni pengibadatan kepada Allah dengan penuh ketaatan dan iringan keikhlasan sejati kepadaNya.

Kemucak kepada bulan Ramadhan melahirkan umat Islam yang bertaqwa kepada Allah.Salah satu bentuk atau kaedah dalam mencapai ketaqwaan Allah taala ialah dengan membentuk kehidupan kita dengan cara Islam.Nah keindahan hidup dalam suasana penghayatan Islam inilah yang dikenali dengan “Biah Solehah”. “Biah” adalah kalimah Arab yang bermaksud suasana, keadaan dan juga persekitaran. Manakala “Solehah” pula ialah semua yang baik pada perspektif syarak iaitu menyuruh melakukan yang baik (makruf) dalam masa yang sama menghalang dari melakukan yang jahat (mungkar) pada pandangan Islam.

Pembentukan “Biah Solehah” pasti akan tercapai melalui penghayatan amalan-amalan di Bulan Ramadhan. Ramadhan telah mendisplinkan kehidupan semua mukmin dengan bersahur di awal pagi seterusnya menghabiskan masa sebelum subuh dengan latihan bangun malam untuk beribadah (qiyamullail) walaupun memadai dengan sekadar 2 rakaat Solat Sunat Tahajud.

Biah Solehah di bulan berkat ini juga akan terhasil melalui kefardhuan berpuasa sebulan di Bulan Ramadhan. Puasa yang dikehendaki agama bukannya semata - mata merasai keperitan lapar dan dahaga tetapi juga mesti menahan semua anggota badan dari melanggar tegahan Allah dan RasulNya. Inilah hakikat puasa khusus yang telah digariskan oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Kitabnya Ihya Ulumuddin. Puasa kategori ini akan berjaya menundukkan hawa nafsu yang bersarang dan bertakhta di jiwa menjadi lemah dan patuh kepada perintah Allah seterusnya lahirlah hamba yang akan takut untuk menerjah sempadan larangan-larang AllahS.W.T.

Rasulullah SAW adalah model pemimpin yang telah berjaya membentuk biah solehah. Strategi yangbaginda gunakan adalah terlalu mudah untuk kita mencontohinya. Hanya melalui dua langkah yang mudah iaitu pembacaan Al-Quran secara bertadarus dan pengamalan segala hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Itulah serampang dua mata senjata ampuh yang amat berkesan dalam melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana Biah Solehah.

Alangkah indahnya suasana “Biah Solehah” di Bulan Ramadhan ini dapat dilestarikan hingga ke hari-hari seterusnya di bulan-bulan yang lain. Para sahabat dulu menangisi pemergian Ramadhan dan berdoa agar setiap bulan adalah bulan Ramadhan. Pengamalan yang berterusan hasil didikan dan latihan di Bulan Ramadhan itulah yang menjadi harapan kerana para ulama’ pernah bermadah "Beristiqamah dalam ibadat adalah lebih baik dari memiliki 1000 karamat".

Tarbiyah Ramadhan kali ini hendaklah digunakan dengan sebaiknya kerana kita tidak mengetahui peluang dan ruang pada masa akan datang dapat menemui bulan mulia ini.Dirakamkan dalam Al-Quran akan peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ramadhan iaitu perang badar al kubra.Allah merakamkan pengajaran yang besar di mana Allah melatih dan mendidik 'tarbiyah' kepada tentera Islam dalam peperangan ini dan tentera Islam berjaya menewaskan tentera musyrikin dalam suasana kuantiti tentera umat Islam yang sedikit berbanding tentera musyrikin.

Di zaman kini, jihad yang paling besar pada kita pada bulan ini bagaimana hendak mengawal atau menjaga hawa nafsu 'jihad an nafs'.Cabaran yang besar Allah letakkan pada hambaNya untuk mendidik diri pada bulan Ramadhan ini.Allah menjanjikan pulangan dan habuan ganjaran yang besar kepada hambaNya iaitu diakhir atau kemuncaknya bulan ini mendapat kenikmatan taqwa kepada Allah taala.

Akhir kalam sambutlah dan raikanlah Ramadhan dengan mengisi pelbagai model atau plan untuk diri sendiri dan orang lain.Medan tarbiyah kali ini seharusnya dimanfaat sebaik mungkin kerana bulan Ramadhan adalah bulan bonus Allah kurniakan kepada hambaNya untuk membuat amal kebajikan dan mencegah kemungkaran.

Photo

Monday, August 16, 2010

at 11:50 AM


0 comments: