Kita dituntut untuk mendekatkan diri dengan Allah swt. dengan bersungguh-sungguh beramal dan berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan amalan kita dari pandangan manusia dan penilaian mereka. Kita hendaklah menyakini bahawa pujian dan penilaian manusia tidak dapat memberi apa-apa faedah pada kita. Apa yang mesti kita kejar adalah pujian dan penilaian dari Allah swt. Terutama sekali dalam amal-amal sunat.
Akan tetapi, dalam amal-amal fardhu kita dituntut untuk menzahirkannya kerana beberapa sebab:
1. Untuk mengagungkan syariat-syariat Islam.
2. Menunjukkan bahawa Umat Islam berpegang teguh dengan ajaran agama mereka.
3. Menolak sangkaan buruk bahwa Umat Islam sudah tidak prihatin dengan ajaran agama mereka.
4. Agar menjadi contoh kepada orang lain.
Begitulah, asal hukum bagi amal fardhu adalah menzahirkannya. Bagi amal sunat pula adalah menyembunyikannya sedaya mampu.
Akan tetapi di sana terdapat beberapa sebab yang membolehkan kita untuk menzahirkan amal-amal sunat, antaranya :
1. Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt yang memberikan taufiq dan hidayah kepada kita dalam ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan.
Firman Allah swt :
قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
“Katakanlah : “Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya adalah lebih baik dari apa yang kamu kumpulkan.”
2. Agar kita optimis bahawa Allah swt akan memberikan kenikmatan beribadah di akhirat sebagaimana kita diberikan kenikmatan tersebut di dunia.
3. Agar menjadi contoh bagi orang lain dan menambah bilangan orang-orang yang taat serta menyebarluaskan pengaruh kebaikan dalam masyarakat.
4. Bergembira kerana dengan amal-amal tersebut akan membawa kita kepada cinta dan redha Allah swt serta memasukkan kita ke dalam golongan hamba-hambaNya yang diredhai.
Untuk menghidupkan sunnah Rasulullah saw, sebagaimana sabda Rasulullah saw dari Jarir bin Abdullah ra :
“من سن سنة حسنة ، فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة،
من غير أن ينقص من أجورهم شيء”
“Sesiapa yang menghidupkan sunnah yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya sehingga Hari Qiamat, tanpa akan dikurangi pahalanya sedikitpun.”
Oleh: Mufias
0 comments: