• Welcome to my blog!

~Aluan Kami~

Pertahan UM warisan bangsa
Posted by Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)


MEMBACA laporan akhbar mengenai ura-ura rancangan pemindahan kampus Universiti Malaya (UM) dari tapak asalnya sekarang di Kuala Lumpur ke Sepang oleh sebuah syarikat pemaju hartanah menarik perhatian umum terutama di kalangan pentadbir, pendidik dan pelajar universiti itu sendiri.

Sungguhpun saya bukan daripada kalangan mereka kerana tidak pernah belajar ataupun bekerja di pusat pengajian tinggi berkenaan, namun selaku anggota masyarakat biasa saya turut tertarik mengenai isu ini dan ingin berkongsi pandangan bersama pembaca lain.

Saya bersetuju dengan pandangan bekas Naib Canselor UM, Prof Diraja Ungku Aziz yang menyatakan bahawa cadangan pihak tersebut disifatkan sebagai ‘gila’ dan ‘kurang ajar’. Ini kerana menurut beliau, tindakan tersebut menggambarkan sikap tidak patriotik pihak tersebut terhadap khazanah negara.

Melihat kepada faktor sejarahnya, UM yang pada asalnya ditubuhkan di Singapura pada tahun 1905 dan kemudian membuka cawangannya di Kuala Lumpur pada tahun 1957. Ia secara tidak langsung membawa makna tertentu kepada politik negara di samping bermulanya sejarah pendidikan tinggi di negara kita.

Ini kerana, pada tahun tersebut negara kita mencapai kemerdekaan dan pada masa yang sama kita juga dapat memiliki sebuah universiti meskipun ia hanya sebuah cawangan. Sehinggalah pada tahun 1962, barulah UM ‘dibawa’ ke negara kita dan ‘ditempatkan’ di tapaknya seperti yang kita lihat sekarang.

Apa yang lebih penting bukanlah pada struktur bangunan semata-mata tetapi juga ia merupakan perintis kepada kewujudan institusi pendidikan tinggi di negara kita. Bahkan dalam konteks ini tapaknya itu turut mencatatkan nilai sejarahnya tersendiri. Inilah saya rasa sesuatu yang amat penting sekali dan wajar dipertahankan.

UM juga menjadi tunjang kepada pendidikan tinggi di negara ini terutamanya di kalangan masyarakat Melayu. Penubuhan pusat pengajian asasi sains di universiti tersebut telah membuka ruang dan peluang kepada golongan bumiputera untuk mempelajari ilmu sains yang ketika itu dikuasai oleh golongan bukan bumiputera.

Selain itu, ia juga telah menyumbangkan jasa yang cukup besar kepada negara. Di universiti inilah lahirnya pemimpin-pemimpin negara yang sangat kita hormati dan sanjungi. Ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan anak Melayu pertama memperoleh ijazah kedoktoran dalam perubatan turut ‘dilahirkan’ oleh universiti tersebut ketika kampus induknya masih lagi berada di Singapura.

Justeru UM bukan sahaja harus dilihat dari sudut nilai pendidikan semata-mata tetapi juga membawa kepada simbol politik, budaya dan juga sejarahnya yang sinonim dengan pembangunan orang Melayu.

Adalah tidak wajar sekiranya salah satu daripada warisan negara ini ‘dilayan’ sebegitu rupa hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan. Imej dan prestij UM sebagai ‘universiti yang tertua’ di negara ini perlu dijaga dan dihormati. Bukan dicemari dengan sikap tidak mempedulikan nilai sejarah negara.

Nilai sejarah negara sama ada dalam pendidikan atau apa jua bidang pun wajar dihormati dan bukan untuk diperdagangkan dengan sewenang-wenangnya, khususnya oleh rakyat negara ini sendiri.

Kita sewajarnya mencontohi beberapa negara luar seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya yang sentiasa menghormati universiti di negara mereka.

Bahkan mereka sama-sama menjaga prestij dan imej universiti mereka daripada dicemari kerana merasakan bahawa itu adalah identiti dan keistimewaan yang harus dipelihara.

Adalah amat diharapkan agar isu ini diberi perhatian serius oleh semua pihak, bukan semata-mata warga kampus UM tetapi juga seluruh masyarakat. Kita harus mempertahankan warisan pendidikan tinggi negara kita daripada tindakan rakus sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Photo

Wednesday, June 27, 2007

at 12:53 PM


0 comments: